Baju bundle ialah pakaian terpakai seperti t-shirt, seluar, hoodie, dan jaket yang dijual semula dengan harga murah. 

Di Malaysia, harga jualan pakaian second-hand ini bermula daripada RM 5 untuk t-shirt dan mencecah ratusan ringgit untuk jaket kulit dan pakaian vintage.

Potensi baju bundle tidak berhenti di pasaran Malaysia. Untuk mendapat keuntungan lebih lumayan, anda boleh pasarkan baju bundle di platform beli-belah antarabangsa seperti eBay.

Permintaan yang Semakin Tinggi di Pasaran Antarabangsa

Semakin ramai yang memilih untuk meninggalkan jenama fast-fashion seperti H&M dan Zara untuk membeli pakaian second-hand.

Buktinya, jualan pakaian second-hand atau baju bundle di eBay meningkat sebanyak 30% antara  Mac dan Jun 2020.

Petikan akhbar tentang jualan ‘Vintage Fashion’

ThredUP Resale Report 2020 pula melaporkan saiz pasaran pakaian jualan semula ialah USD 7 billion pada 2019, tetapi menjangkakan kenaikan lima kali ganda iaitu USD 36 billion pada 2024.

Mengapa? Pakaian fast fashion yang dikeluarkan hanya trendy untuk satu minggu. Pada minggu berikutnya pakaian ini sudah ketinggalan, dan pengguna harus membeli baju baru untuk kekal bergaya.

Fast fashion juga dikaitkan dengan pencemaran alam sekitar. Pembuatan pakaian dengan banyak serta penggunaan material sintetik seperti nylon membebaskan gas yang merbahaya kepada ozon dan meningkatkan suhu bumi.

Untuk meminimakan kos pengeluaran, pengeluar fast fashion menggunakan sweat-shop labour. Pekerja yang diambil tidak dibayar gaji setimpal dan kebanyakannya pekerja berada di bawah umur yang sah untuk bekerja. Kebajikan pekerja pula tidak terjaga dan persekitaran kerja tidak selamat.

Menggayakan pakaian vintage turut memenuhi cita rasa unik individu yang tidak bergerak seiring dengan pertukaran fast fashion mingguan. Pakaian bundle lebih evergreen, jadi tidak perlu tukar setiap minggu untuk bergaya.

Generasi Z terutamanya tidak kisah menggayakan t-shirt lusuh dan seluar jeans terpakai agar kelihatan cool dan berbeza dari orang lain. Ramai yang mencari pakaian bagi melengkapkan capsule wardrobe, di mana pakaian boleh digayakan dengan pelbagai cara.

Bolehkah Saya Mendapat Keuntungan Daripada Penjualan Baju Bundle?

Sebagai penjual baju bundle, anda mengeluarkan modal untuk membeli pakaian dalam kuantiti besar iaitu guni atau bale.

Tapi lihat sendiri harga jualan baju-baju terpakai ini.

Lumayan kan? Lebih banyak baju bundle vintage dan berharga dalam bale, lebih banyak keuntungan anda.

Uniknya tentang perniagaan ini, baju bundle murah masih boleh dijual dengan harga rendah. Jadi anda tidak semestinya rugi jika tidak menjumpai baju bundle mahal yang bernilai ratusan ringgit.

Nilai Pakaian Bundle

Harga jualan semula pakaian bundle bergantung kepada beberapa faktor. Kalau anda ingin membuat bisnes baju bundle, perlu beri perhatian kepada bahagian ini.

  1. Keunikan. Baju terkenal dan dikeluarkan dalam kuantiti sedikit dikira limited edition dan rare. Bergantung kepada keunikan, harga juga semakin tinggi.
  • Vintage. T-shirt Dickies dan pakaian wanita dengan Victorian lace, corset, serta print vintage mempunyai permintaan yang tinggi dan harga pasaran yang mahal. Anda perlu melatih mata untuk mengenalpasti pakaian vintage.

Di Malaysia, baju bundle paling mahal terjual ialah sehelai t-shirt lusuh Geisha Official yang dibida pada harga RM37,500 oleh pengumpul pakaian vintage.

Bayangkan harga untuk t-shirt ini jika dipasarkan seluruh dunia.

  • Jenama. Harga pakaian baru dan berjenama seperti seluar jeans Levi’s dan t-shirt Polo sangat tinggi, dalam lingkungan 300-500 ringgit. Pakaian bundle jenama sama juga mempunyai nilai dan permintaan yang tinggi.

Kebanyakan peniaga bundle mencari t-shirt dan hoodie Nike, Adidas, Crocodile, dan jenama terkemuka lain yang original. Ini carian lebih mudah berbanding menilai pakaian vintage.

  • Keadaan Pakaian. Pakaian dalam keadaan baru atau seperti baru mempunyai nilai tinggi. Faktor ini penting untuk pakaian berjenama, seperti Nike dan GAP. Penggila dan pengumpul pakaian rare dan vintage biasanya tidak terlalu pentingkan keadaan pakaian.

Keadaan pakaian dapat dilihat daripada beberapa aspek. Contohnya, print pada pakaian tidak terkopek, warna yang cerah, jahitan yang masih elok dan kemas, dan tidak ada kerosakan seperti koyak atau lubang.

Mana Nak Dapatkan Bundle dan Jenis-jenis Bundle

Bale bundle mudah didapati. Anda boleh membeli di Shopee dan kedai Instagram. Ada juga kilang dan pemborong yang menjual baju bundle dalam bale.

Semasa membeli bale, anda mungkin berdepan dengan beberapa pilihan.

  • Gred. Pertama, anda boleh membeli bale bundle bergred tinggi seperti gred A, atau gred rendah. Gred bale yang tinggi dikatakan lebih berkualiti. Jadi kemungkinan untuk menjumpai pakaian bernilai tinggi lebih besar.
  • Negara Asal. Anda juga boleh memilih pakaian daripada negara Jepun, Korea, negara barat, atau Thailand. Baju bundle daripada negara seperti Jepun dan Korea lebih mahal.
  • Saiz bale bundle. Mengikut bajet dan modal, anda boleh memilih bale bersaiz besar seperti 100 kilogram ataupun bale kecil. 

Jika baru ingin mencuba menjual bundle, boleh pilih guni yang kecil dahulu. Kerana proses menguruskan pakaian bundle juga memakan masa.

Tapi ingat, setiap bale ialah misteri. Bale bergrade rendah atau dari negara Siam juga boleh ada baju-baju jackpot bernilai tinggi. Bale mahal pula tidak menjamin pakaian yang boleh terjual.

Memproses Pakaian Bundle Sebelum Dijual

Jadi anda sudah membeli bale dan sangat teruja untuk menjual. Sebelum mendapatkan pulangan, anda harus memproses produk anda.

Selepas memecahkan bale, asingkan baju yang boleh dijual. Cari pakaian vintage dan berjenama dalam keadaan baik.

Sudah dapat baju yang boleh dijual, haruslah basuh dan tanggalkan kotoran.

Untuk material jenis wool yang berbulu, anda boleh refresh dengan menggunakan lint remover atau pisau cukur.

Jika ada baju dengan sedikit kerosakan seperti jahitan terbuka yang boleh dibaiki, touch up dahulu untuk menaikkan nilai jualan.

Biasanya peniaga bundle akan cuci di dobi dan keringkan sekali. Baju yang perlu dry clean jangan dicuci dalam mesin basuh biasa. Sweater wool jangan dimasukkan dalam dryer, kalau tidak akan kecut.

Sebelum membuat listing, gosok dahulu pakaian supaya nampak presentable dan cantik.

Hati-hati menguruskan baju bundle. Pastikan baju dicuci dan digosok mengikut cara yang sepatutnya.

Menjual di eBay

Sekarang masa untuk memuat naik baju bundle anda ke eBay. 

Langkah pertama ialah menangkap gambar produk. Pastikan lighting terang dan produk nampak menarik. 

Kemudian, lengkapkan produk description. Pastikan ada saiz, jenama, buatan mana, material, dan lain-lain maklumat penting.

Tetapkan harga yang bersesuaian. Jika tak pasti harga apa yang boleh diletakkan, semak harga produk yang serupa di eBay. Letak harga yang competitive. Jangan terlalu mahal atau murah.

Untuk maklumat lebih mendalam tentang membuat kajian pasaran, boleh rujuk blog post ini.

Penutup

Pendek kata, penjualan baju bundle di eBay mempunyai pasaran besar yang dijangka akan berkembang dengan cepat. Ini peluang keemasan bagi sesiapa yang berani memulakan bisnes bundle dan mengembangkan potensi perniagaan.

Seperti bisnes lain, penjualan bundle di eBay mempunyai risikonya yang tersendiri. Penjual yang berjaya menguruskan risiko dan menjual dengan berkesan akan mengaut keuntungan lumayan.

Ingin belajar teknik dan rahsia kejayaan menjual di eBay?

Ikuti Bengkel eBay Intelligence di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.